KUALA LUMPUR 12 Julai 2009 - Penyedia perkhidmatan Internet baru Malaysia, Infolient berhasrat membantu penduduk kampung untuk celik komputer dengan menyediakan pusat pembelajaran komputer kepada mereka.
Pengarah Urusan Kumpulan, Eric Chong berkata, pusat pembelajaran komputer tersebut akan mengajar penduduk kampung maklumat asas seperti menghantar e-mel, mencari maklumat dan menjalankan perkhidmatan perbankan dalam talian.
''Hubungan Internet membolehkan mereka berhubung dengan dunia luar dan menjadi sebahagian daripada revolusi digital.
''Setakat ini, kami sedang berbincang dengan majlis perbandaran dan kerajaan negeri untuk menawarkan perkhidmatan kepada komuniti kecil tersebut,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini. Tambah Chong, pada waktu ini penembusan jalur lebar di Malaysia adalah sebanyak 25 peratus atau 1.3 juta pelanggan seluruh negara.
''Kami merancang untuk bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mencapai sasaran penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang 2010,'' katanya. Infolient bermula dengan menyediakan perkhidmatan pukal untuk Telekom Malaysia pada 2004, tiga tahun kemudian mereka diberikan lesen sebagai penyedia perkhidmatan jalur lebar.
Chong berkata, kewujudan mereka adalah untuk menyediakan alternatif kepada perkhidmatan sedia ada berbanding bersaing dengan penyedia perkhidmatan yang lain.
~sumber dari Utusan online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan