Maklumat terkini ICT Niaga


Pada ketika ini, ICT Niaga Enterprise telah diberi tanggungjawab bagi menyediakan kad bisnes untuk Wannor Spa & Beauty, yang juga berada di tingkat yang sama dengan ICT Niaga iaitu di lot No. 1.8 G1 & G2, Kompleks Hang Tuah ( Kompleks MARA ), Jalan Hang Tuah Melaka.

Di satu perkembang cerita yang lain, ICT Niaga juga diberi peluang oleh pemain bola sepak tempatan iaitu Leong Hong Seng bagi membina serta menyelenggara blog untuk kedai sukannya yang terletak di kawasan Malim, berhampiran dengan pasaraya Econsave. Beliau bercadang untuk mempromosikan perniagaan kedai sukannya di internet setelah melihat medium internet merupakan salah satu cara yang berkesan bagi mengiklankan perkhidmatan atau lokasi sesuatu perniagaan.

Dua peluang perniagaan ini telah muncul pada ICT Niaga ketika bulan Ramadhan. Sesungguhnya bulan mulia ini, Allah membuka pintu syurga dan pintu rezeki dengan seluas dan sebanyak mungkin bagi hambaNya yang mengharapkan sesuatu yang datangnya dari sumber yang halal...

Contohi usahawan kaum lain

Usahawan Melayu perlu mencontohi usahawan kaum lain yang tidak mudah putus asa dan berani mengambil risiko dalam mengendalikan perniagaan mereka sehingga membawa kejayaan.

Pengarah Majlis Tindakan Ekonomi dan Sosial Bumiputera Melaka, Hasnoor Sidang Husin berkata, kegagalan segelintir usahawan Melayu untuk berjaya dan pergi lebih jauh dalam bidang perniagaan ialah kerana masih berfikiran cara lama.

"Salah satunya ialah Melayu perlu menjauhi sikap hasad dengki jika mahu melihat lebih banyak orang Melayu menjadi usahawan berjaya di negara ini".

"Ini tidak, orang Melayu, bila tengok ada yang berjaya sikit, mula tidak senang hati, jumpa bomoh untuk jatuhkan perniagaan sesama bangsa. Akhirnya, dua-dua perniagaan tidak berjaya," katanya.

Hasnoor berkata demikian dalam ucapannya di hadapan kira-kira 50 usahawan Melayu selepas merasmikan Taklimat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad ( PUNB ) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Tambah beliau, sikap hasad dengki sehingga ke tahap mahu menjatuhkan sesama kaum menjadi punca orang Melayu semakin sukar untuk terus berjaya dalam perniagaan dan meraih kekayaan.

Justeru kata beliau, orang Melayu perlu bersatu padu, saling bantu membantu untuk terus bersaing secara sihat dalam bidang perniagaan seperti diamalkan masyarakat Cina sehingga berjaya menembusi pasaran global.

~ sumber diambil dari artikel akhbar arus perdana.

Usahawan Muda GiatMARA Mampu Ke Papan BSKL

Para usahawan muda kelahiran Pusat GiatMARA Malaysia mampu tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jika berjaya menembusi pasaran antarabangsa, kata Pengerusinya, Datuk Muhammad Musiyudin Abdullah.

Katanya kursus dan latihan yang diberikan pusat itu telah melahirkan usahawan bertaraf antarabangsa dengan kemahiran yang diperolehi seterusnya menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.Walau pun pelatih pusat itu tidak mempunyai pelajaran yang tinggi namun dengan minat serta kesungguhan, katanya mereka mampu membuka cawangan perniagaan di serata pelusuk dunia.

"Ada antara mereka membuka cawangan restoran di negara-negara Arab dan mengeksport barang berasaskan kimpalan logam ke luar negara, jadi tidak mustahilah mereka akan tersenarai di BSKL nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kelab Usahawan GiatMARA negeri Kedah.

Antara kejayaan lain pusat itu, menurutnya, ialah berjaya muncul sebagai Institusi Terbaik Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) 2007 kerana memenangi jumlah pingat yang terbanyak dan seterusnya meraih anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Muhammad Musiyudin berkata pusat itu turut menubuhkan Kelab Usahawan GiatMARA bagi melahirkan masyarakat perdagangan Melayu pada Disember tahun lepas dan menyasarkan 11,000 bekas pelajar untuk menjadi ahli kelab sehingga hujung tahun ini.
Ini bertujuan memudahkan mereka mendapat pinjaman dan kemudahan lain yang disediakan, katanya.

"Yang penting kami dapat melahirkan pelatih yang mendapat tempat (kerja dan peluang perniagaan) dalam pelbagai industri masa kini serta mengurangkan pengangguran di kalangan belia, kata Muhammad Musiyudin.

Bagi remaja yang tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tetapi mempunyai minat dalam bidang tertentu, menurutnya, pusat itu sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk memberi pelbagai kemahiran yang selaras dengan permintaan pasaran kerja.

- Berita diambil dari BERNAMA

Perasmian Kelab Usahawan Giatmara ( KUG )

Mengikut perancangan AJK Kelab Usahawan Giatmara ( KUG ) negeri Melaka, perasmian penubuhan kelab akan dilancarkan pada 01.05.2008 bertempat di Hotel Sri Impiana, Jasin, Melaka pada pukul 3.00 ptg sehingga 6.00 ptg.

Kelab ini terdiri daripada bekas pelatih GIATMARA negeri Melaka yang telah mempunyai syarikat dan aktif menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang.

Sasaran KUG ialah menjalankan projek atau kerja-kerja penyelenggaraan serta perkhidmatan untuk organisasi berkaitan MARA. Jika dilihat oleh pihak penilaian KUG, kebanyakkan organisasi berkaitan MARA menggunakan perkhidmatan seperti servis penghawa dingin, servis komputer atau jahitan pakaian dari pihak luar mahupun bangsa asing.

Ini ternyata merugikan para pelatih dari GIATMARA yang telah menjalankan perniagaan kerana kebanyakkan dari tugasan atau projek tersebut mampu dilaksanakan oleh mereka sendiri kerana semasa di GIATMARA, mereka telah dilatih dengan kursus kemahiran yang releven dengan kehendak pasaran semasa.

Oleh itu diharap semua pihak lain terutamanya bangsa Melayu sendiri menyokong dan memberi galakkan serta bantuan sewajarnya kepada KUG kerana kebanyakkan dari ahli kelab adalah usahawan muda dan baru dalam dunia keusahawanan.

Laman blog iaitu http://kugmelaka.blogspot.com sedang dibangunkan untuk menyalurkan maklumat pada umum mengenai para usahawan di dalam kelab ini.

Tip Perniagaan

Artikel dipetik dari laman web http://www.punb.com.my

10 Kesilapan Utama Dalam Perniagaan Kecil

Kesilapan-kesilapan berikut merupakan kesilapan umum yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan dan pemilik perniagaan kecil. Berhati-hatilah dengan kesilapan yang amat merbahaya ini :


1. Terlalu yakin dengan sesuatu idea dan taksub dengannya.
~ Jangan terlalu yakin dengan satu idea sahaja. Ingat, idea adalah matawang kepada usahawan.Pelbagaikan idea dan lihat yang mana berupaya memberi ganjaran dan kejayaan kepada anda.

2. Tiada Pelan Pemasaran
~ Pelan Pemasaran boleh memberikan perhatian yang anda perlukan kepada pihak sasaran. Ia menjadi daya tarik pelanggan terhadap anda! Terdapat lebih dari 25 cara untuk memasarkan perniagaan anda dengan kos yang rendah ataupun tanpa melibatkan sebarang kos. Perlaksanaan pelan pemasaran secara berkesan, cekap, konsisten dan penuh bergaya dapat menjimatkan kos panggilan.

3. Tidak mengenali pelanggan anda
~ Perubahan pada citarasa pelanggan dan juga produk serta perkhidmatan persaing akan mempengaruhi perniagaan anda, kecuali jika anda kenal pelanggan secara dekat, tahu kehendak mereka pada masa kini dan masa hadapan, tahu corak pembelian mereka dan tahu bagaimana untuk membantu mereka walaupun anda tidak mempunyai produk atapun perkhidmatan tersebut.

4. Tidak peka dengan kedudukan aliran tunai syarikat
~ Walaupun anda mempunyai produk yang paling terbaik, pelanggan mungkin tidak akan membelinya dalam tempoh waktu yang anda fikirkan. Oleh itu kedudukan aliran tunai yang mantap penting untuk menampung diri dan syarikat anda dalam tempoh tersebut.

5. Tidak peduli tentang kakitangan
~ Salah satu cabaran yang paling sukar bagi seorang usahawan atau pemilik perniagaan ialah untuk memberi motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Tanpa kesabaran, kesungguhan dan kemahiran, masalah tersebut akan menjadi lebih teruk. Moral dan produktiviti pekerja serta keuntungan syarikat boleh musnah dengan segera!

6. Keliru tentang kemungkinan dengan realiti
~ Usahawan yang berjaya hidup di dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tetapi mereka berbelanja dalam dunia realiti.

7. Tiada pelan penjualan.
~ Tanpa pelan penjualan, maka tidak ada cara untuk mengukur perkembangan kewangan dan kemajuan perniagaan anda. Anda memerlukan plan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.

8. Penyendiri
~ Anda mungkin tahu kesemunya tetapi anda tidak boleh melakukanya seorang diri dan berkembang pada masa yang sama. Anda perlukan kakitangan untuk mengagihkan tanggungjawab kepada mereka.

9. Tiada 'Mastermind'
~ Anda perlukan satu lembaga penasihat ataupun seorang mentor! Bagi mereka yang mempunyai pernigaan yang kecil , ini mungkin ini tidak masuk akal. Lembaga penasihat ini mungkin terdiri dari anggota keluarga atau sahabat yang anda percayai.Jadikan mereka Ahli Lembaga Pengarah, kaji pelan dan keputusan perniagaan bersama mereka. Adalah sangat kritikal untuk mempunyai seseorang yang boleh memberikan idea dan pandangan yang objektif.

10. Berputus Asa
~ Kebanyakkan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan. Oleh itu, sekiranya anda gagal, biarkan kegagalan itu. Bangun dan belajar dari kesilapan dan kegagalan lalu. Jangan berputus asa dan menderita.
visitor stats

Artikel dari Busuk.org

Pingje.com news

Directory

BloggerMelayu.com Rakaniaga.NetBlogMalaysia.com